Wednesday, 21 December 2011

Bergaya bak selebriti


Idea & tip wanita untuk tampil menyerlah

PESONA selebriti tatkala menggayakan fesyen sering menjadi rujukan peminat dan pemerhati fesyen untuk tampil gaya serupa. Sama ada melangkah anggun di hamparan karpet merah, muncul di majlis anugerah atau sekadar bergaya santai hujung minggu, ada aura yang meletakkan penampilan selebriti cukup memikat pandangan.

Tidak hanya menyarungkan helaian jenama mewah dan label fesyen kelas A antarabangsa, ada juga selebriti terkenal Hollywood yang dilihat memilih pakaian yang dijual longgok dan murah selepas harga diskaun. Pendek kata, sesiapa saja boleh bergaya dan kelihatan hebat asalkan bijak menyuai padan gaya mengikut keadaan dan acara.
 

senarai dibawah ialah idea serta tip untuk wanita tampil menyerlah bak selebriti terkenal dengan mengambil kira faktor kemampuan, realistik dalam kuasa beli serta penggayaan yang sesuai dengan keadaan semasa.

Apa yang paling penting, kenal pasti kekuatan diri terutama kuasa tubuh sebelum cuba untuk menyarungkan sesuatu gaya. Tidak semestinya jenama mewah sebagai jambatan untuk andai kelihatan bergaya dan tidak pula barangan bundle gagal menyerlahkan penampilan.

Pucuk pangkal, teknik suai padan dan ditambahkan pula dengan idea memadankan aksesori sebagai kekuatan utama untuk menambah pesona peribadi.
 

Berikut adalah empat tip selebriti bermain dengan ‘fantasi’ untuk mencipta gaya tersendiri dalam bergaya. Walaupun tidaklah sempurna sepenuhnya bak gaya selebriti, sekurang-kurangnya kunci utama dalam memilih gaya yang sebenar dapat dipelajari. Selamat bergaya!

1. Gayakan aksesori


RASANYA semua wanita memiliki aksesori sekurang-kurangnya subang, rantai dan gelang. Jangan biar tersimpan cantik di rak solek, sebaliknya selalulah gayakan aksesori dan suai padan dengan pakaian harian.
 

Untuk menjadikan anda lebih menonjol, cuba gayakan aksesori ini lebih daripada biasa. Sebagai contoh, jika anda menggayakan satu pin atau satu set rantai, gayakan lebih terutama rantai labuh yang berjurai untuk menampakkan penampilan lebih glamor.

Selebriti selalunya cuba memastikan penampilan mereka lebih berbanding orang lain, terutama dalam soal aksesori seperti rantai, selendang, cermin mata hitam, tas tangan hinggalah penyepit rambut.

Tidak sukar untuk kelihatan ‘meriah’ seperti selebriti, berkunjung saja ke bazar hujung minggu yang menjual pelbagai item aksesori berwarna-warni. Usah takut atau gusar untuk mencuba. Kunci katanya, jangan malu!

2. Teknik suai padan


WALAUPUN kita menganggap agak janggal jika skinny jeans digandingkan dengan dress pendek, tetapi selebriti Hollywood tidak berpandangan sama. Semahunya, gaya suai padan harus dicuba dengan keyakinan fesyen itu tetap diterima umum. Jangan rasa rendah diri atau teragak-agak untuk mencuba teknik suai padan kerana sesetengah gaya akan menampakkan diri anda lebih menonjol.

Lihat beberapa paparan contoh selebriti yang mengulang tayang item pakaian dengan koleksi lain sekali gus menyaksikan idea berbeza dan nampak cukup elegan. Nicole Richie contohnya kelihatan cukup menarik apabila tampil dalam tiga gaya berbeza melalui seluar skinny yang jelas menampakkan cita rasa fesyen yang cukup tinggi.

Selak juga helaian pakaian dalam almari dan cuba bahagikan helaian koleksi sedia ada dengan item tambahan. Selain gabungan warna yang kontras, lakukan juga eksperimen dengan koleksi baru dan lama.

3. Jangan tinggalkan beg tangan


BAK perisai diri wanita, tas tangan dilihat sebagai titik tumpuan dalam bergaya persis selebriti. Untuk sentiasa kelihatan ‘up to date’, dapatkan beg tangan mengikut musim terbaru di pasaran.

Sama ada rekaan beg berpotongan tote, hobo atau satchel, idea menggayakan tas tangan juga harus diteliti sebaik mungkin. Sebagaimana dalam penampilan selebriti, mereka lazimnya tidak takut bermain dengan warna dalam pemilihan beg tangan. Pada masa yang sama, corak, potongan beg besar dan aksesori pada beg antara yang menambah tarikan penampilan.

Dalam hal ini, jelas menyaksikan bahawa beg tangan sebagai tarikan utama dan jalan selamat untuk memastikan gaya bak bintang kekal dalam diri pemuja selebriti.

4. Jadikan penampilan selesa


JADILAH juara dalam bergaya! Tidak semestinya perlu bergelar pereka fesyen semata-mata untuk mencipta pakaian. Sebaliknya, idea dan cita rasa anda boleh dimanfaatkan untuk mencipta helaian pakaian mengikut potongan badan sendiri.

Pilihlah tukang jahit kegemaran untuk merealisasikan impian memiliki pakaian yang benar-benar cocok untuk penampilan diri. Percayalah, dengan sedikit usaha dan kreativiti anda mampu bergaya persis selebriti terkenal antarabangsa!


Sumber: http://www.bharian.com.my/articles/2011091708130320110917081303/Article/print_html

No comments:

Post a Comment