Thursday 29 December 2011

Rambut dan Bentuk muka

GAYA rambut yang sesuai dengan bentuk wajah mampu
menyerlahkan keanggunan seseorang.

Kesilapan memilih gaya boleh cacatkan kecantikan wajah, penampilan

SEORANG rakan membebel sambil menyifatkan keputusannya memotong rambut panjang mengurai miliknya adalah satu kesilapan. Malah, dia turut menyalahkan pendandan rambut di salun pilihannya kerana tidak mempunyai kemahiran menata gaya rambut sesuai dengan bentuk wajahnya.

Sehubungan itu, jika anda tidak mahu menghadapi situasi sama seperti itu, anda wajar meneliti terlebih dahulu bentuk wajah, tekstur rambut dan trend terkini sebelum membuat keputusan menukar gaya rambut.

Pendandan rambut Tiara Hair Beauty, Diana Toledo, berkata trend terkini penataan potongan rambut tidak hanya terhad kepada satu gaya saja.

“Berambut panjang mengurai atau kemas pendek tidak menjadi halangan kerana trend musim ini lebih kepada gaya rambut lepas bebas berombak semula jadi.

“Malah, jika bosan berambut pendek pilihan untuk menyambung rambut (hair extention) turut ditawarkan pada kebanyakan salun rambut dengan harga berpatutan,” katanya sambil menjelaskan ramai wanita yang membuat sambungan rambut bagi mencari kelainan ketika bergaya.


POTONGAN rambut berlapis (layer) sesuai untuk menyembunyikan ketidaksempurnaan wajah.

Diana berkata, ramai wanita mempunyai keinginan untuk menggayakan rambut namun sedikit kesilapan yang dibuat ketika memilih gaya boleh mencacatkan kecantikan wajah.

“Rambut juga seperti pakaian. Jika silap, ia boleh merubah wajah dan memberi kesan kepada penampilan diri. Jika anda peka dengan penampilan diri, sebelum bertandang ke salun rambut, buat sedikit rujukan di majalah atau internet dan cari gaya sesuai yang anda inginkan.

“Kemudian, rujuk pendandan rambut di salun pilihan mengenai gaya atau warna sesuai dan minta dia gayakan gaya itu namun disesuaikan dengan bentuk wajah, warna kulit dan jenis rambut anda sama ada ia kasar atau halus, kerinting atau lurus,” katanya.

Diana sempat memberi panduan ringkas kepada wanita berwajah bulat supaya memilih gaya rambut yang menutup rahang dan dekat dengan kulit wajah bagi memberi ilusi wajah bujur.

“Elakkan memotong rambut pendek kerana ia akan menyerlahkan lagi wajah bulat anda,” katanya.

Bagi wanita yang bermuka kecil, mereka lebih sesuai menggayakan potongan rambut pendek dan wanita wajahnya bersegi juga digalakkan memilih rambut menutup rahang bagi menyerlahkan wajah lebih feminin.

FAKTA: Gaya rambut

Potongan bob











Cuba potongan bob jika mahu mencuba kelainan. Malah, gaya rambut yang dipotong lebih pendek di belakang berbanding rambut sisi menjadi gaya paling hangat kalangan selebriti Hollywood juga tempatan antaranya Victoria Beckham, Katie Holmes, Paris Hilton dan Misha Omar.

Gaya ini lebih praktikal bagi wanita yang inginkan gaya kemas tanpa ombak yang kadangkala sukar diurus. Ia boleh dipelbagaikan sama ada untuk kelihatan pendek atau jika disisir tengah, rambut akan kelihatan panjang mencecah paras bahu. Paling penting adalah gel rambut.

Bentuk Hati
Individu berwajah berbentuk hati mempunyai dahi yang luas dengan bentuk wajah tirus ke bawah. Bagi memberi ilusi wajah seimbang, cipta potongan panjang mengikut tepi muka misalnya dengan pilihan potongan bob. Atau potong rambut ke depan mencecah kening bagi menutup sebahagian dahi anda.

Bentuk Oval
Pemilik wajah oval adalah individu paling bertuah kerana semua gaya rambut sesuai untuk bentuk muka mereka. Rambut panjang milik anda dibiar tanpa ikatan dan cipta ombak besar beralun bagi menyuntik penampilan anggun atau sesekali boleh sisir rapi rambut ke belakang bagi mencipta pesona berbeza.

Bentuk Bulat
Bentuk wajah bulat tidak boleh menggayakan gaya rambut sebarangan kerana silap gaya ia boleh membuatkan wajah kelihatan tembam berisi. Untuk meniruskan bentuk wajah, pastikan rambut tidak terlalu kembang atau cuba potongan bertingkat mengikut bentuk wajah. Elakkan memotong rambut pada paras dagu kerana ia bakal membuatkan muka bertambah bulat.

Bentuk Bersegi
Pemilik wajah bersegi mempunyai garis rahang yang agak jelas. Rambut kerinting atau berombak sesuai kerana ia mampu melembutkan bentuk wajah. Potongan bertingkat yang tidak terlalu banyak bersama potongan bang (rambut depan) panjang yang ditarik ke tepi mampu melengkap gaya pemilik wajah bersegi.

No comments:

Post a Comment