Sebagai seorang muslim, kita harus memastikan gaya hidup kita berlandaskan sunnah Rasulullah saw, terutamanya dari aspek kesihatan. Rasulullah sendiri sentiasa menjaga aspek pemakanan dan kesihatan fizikal sehinggakan baginda sendiri mampu untuk mengetuai angkatan Perang Tabuk meskipun telah berusia 62 tahun! Badan yang sihat diperlukan untuk membolehkan kita beribadah kepada Allah, belajar, bekerja dan berkhidmat kepada masyarakat. Beberapa tips kesihatan yang boleh kita amalkan bersama:
Senaman ringkas
Cuba untuk amalkan senaman selama 20 minit, sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Kumpul rakan-rakan yang lain untuk bermain bola, netball, futsal, badminton dan sebagainya. Jika anda malas untuk keluar rumah disebabkan kesejukan Winter, anda boleh melakukan senaman di rumah seperti skipping, senaman robik, taebo dan kickboxing. Banyak contoh senaman boleh didapati dalam Youtube!
Makanan yang sihat dan berkualiti
Elakkan makan terlalu banyak. Contohi sifat Rasulullah, makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Masalah kegemukan berpunca daripada lebihan kalori dan kurangnya bersenam (input > output), maka ia akan tersimpan dalam bentuk lebihan lemak yang memberatkan badan.
Makanlah sayur-sayuran dan buah-buahan sebanyak mungkin. Ikuti kempen yang telah lama dilancarkan oleh kerajaan Australia, 2+5 yang bermakna makan 2 hidangan buah dan 5 hidangan sayur sehari. Ia boleh membantu menyelesaikan masalah sembelit (constipation) dan mengurangkan risiko kanser usus!
Kurangkan makanan manis dan berlemak. Sememangnya makanan-makanan sebegini sangat menyelerakan, namun ingatlah bahawa ia tidak baik untuk anda!
Tidur yang mencukupi
Ramai antara kita yang mengorbankan waktu tidur semata-mata untuk menyiapkan kerja, namun tidak ramai yang menyedari bahawa banyak lagi masa lain yang boleh dikorbankan seperti masa melayari facebook, chatting, bersembang dan sebagainya. Tidur yang cukup diperlukan agar badan kita mendapat rehat yang berkualiti supaya kita mampu untuk bekerja esok hari. Allah telah menjadikan malam untuk tidur dan berehat, jadi ikutilah sunnatullah ini!
Pengurusan stress
Setiap manusia pasti menghadapi stress, baik student, surirumah, doktor mahupun pesakit. Yang penting adalah bagaimana untuk menghadapi stress tersebut. Sesenduk garam tetaplah sesenduk garam, kalau termasuk dalam secawan air maka masinlah jadinya. Namun jika ia termasuk dalam selaut air, maka sedikit pun tidak terasa. Lapangkan hati kita untuk menerima sebarang masalah yang timbul, dan ini dapat dicapai melalui solat yang khusyuk, qiamullail, bacaan Quran dan zikrullah.
No comments:
Post a Comment